(2024) Pejuang sikap lebih inklusif terhadap golongan berkeperluan khas ini antara penerima Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2024

SINGAPURA: Bagi kebanyakan orang, mendengar suara atau muzik adalah sesuatu yang biasa dialami dalam kehidupan seharian.

Namun bagi Cik Amal Husnah Jamaludin, 34 tahun yang mempunyai autisme, beliau cukup sensitif dengan setiap didengarinya sehingga boleh menjejas rutin hariannya.

“Apabila saya di dalam MRT atau di tempat yang bising, saya akan mendengar suara-suara orang dengan lebih kuat lagi daripada kebanyakan orang. Ia satu cabaran sebab agak susah untuk saya hendak fokus tentang apa yang saya lakukan ataupun apa yang saya ingin katakan kepada orang,” kata Cik Husnah kepada wartawan Syawal Yusoff.

Cik Husnah didiagnos dengan autisme ketika 11 tahun lalu pada usia 23 tahun.

Selepas lebih memahami tentang keadaannya, beliau terpaksa memulakan hidup baharu dan pelajari cara-cara untuk menyesuaikan diri.

“Kesedaran itu yang membantu saya untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Seperti menggunakan ‘headphones’ apabila saya ingin menaiki MRT ataupun apabila saya menghadiri majlis perkahwinan. Walaupun ia sesuatu yang agak ganjil dan saya selalunya akan menerima pertolongan dari orang tetapi itulah yang salah satunya cara untuk saya menjalani kehidupan saya dengan baik,” jelasnya.

Pada 2017, beliau mula menyertai Persatuan Orang Kurang Upaya (DPA) sebagai seorang Duta Inklusif.

Melalui peranannya itu, Husnah telah menyumbang kepada pelbagai usaha DPA bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjadi lebih inklusif.

“Sebelum ini pengetahuan saya tentang golongan berkeperluan khas cetek. Jadi saya mempelajari tentang golongan ini melalui interaksi yang kerap apabila saya menyertai DPA sebagai Duta Inklusif. Dari situlah yang saya mengetahui lebih mendalam tentang isu-isu yang golongan-golongan ini sering hadapi,” kata Cik Husnah.

Ini dilakukan menerusi lebih 50 sesi perbincangan, ceramah dan acara-acara di sekolah dan tempat kerja.

“Ia bukannya satu tugas tetapi sesuatu yang saya rasa penting untuk kita lakukan. Ramai sekali yang tidak memahami bagaimana untuk interaksi bersama kami ataupun tidak mengetahui apakah cabaran-cabaran yang kita hadapi. Jadi ini yang mendorong saya dan duta-duta yang lain untuk berkongsi,” ujarnya.

Sumbangannya kepada usaha memperjuangkan kehidupan masyarakat yang lebih inklusif itu diiktiraf dalam Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) tahun ini.

Cik Husnah menjadi antara 10 penerima Anugerah Potensi GCTEA kali ini.

“Saya rasa anugerah ni adalah satu pengiktirafan kerja-kerja saya yang selama tujuh tahun ini dan ia sesuatu yang boleh memberi saya platform lebih besar untuk berkongsi tentang tentang cara-cara untuk menjadi sesebuah masyarakat yang lebih inklusif,” katanya.

“Saya rasa sama seperti ramai daripada golongan kurang upaya iaitu untuk orang ramai memahami kita. Ambil tahu tentang cabaran-cabaran yang kami hadapi dan cuba mendampingi kita dalam kehidupan mereka,” tambah Cik Husnah.

Photo show President Tharman, Emeritus Senior Minister Goh Chok Tong and the Goh Chok Tong Enable Awards 2024 Achievement and Promise awardees.

3 PENERIMA ANUGERAH PENCAPAIAN, 10 PENERIMA ANUGERAH POTENSI

Edisi ke-6 GCTEA mengiktiraf seramai 13 individu berkeperluan khas menerusi dua kategori – Anugerah Pencapaian dan Anugerah Potensi di atas kecemerlangan mereka dalam memperjuangkan daya inklusif dalam bidang masing-masing.

Penerima Anugerah Pencapaian turut menerima wang tunai S$10,000 sementara penerima Anugerah Potensi menerima wang tunai S$5,000.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di Marina Bay Sands pada Selasa (3 Dis).

Photo shows Senior Parliamentary Secretary Eric Chua giving a speech

Turut hadir di acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Eric Chua.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, beliau berkata sikap terhadap golongan berkeperluan khas khususnya di tempat kerja masih boleh diperbaiki.

“Menjadi lebih inklusif terhadap golongan berkeperluan khas adalah tanggungjawab bersama dan usaha seluruh masyarakat, dengan sikap orang awam memainkan peranan yang sangat penting. Dengan mengiktiraf keupayaan golongan berkeperluan khas, memupuk tempat kerja yang inklusif dan mudah diakses serta ruang kongsi dan melengkapkan orang ramai dengan kemahiran untuk menyokong orang dari semua kebolehan, kita boleh membina masyarakat di mana semua orang boleh berjaya.

“Pemerintah terus komited untuk memperkasakan golongan berkeperluan khas untuk mencapai impian mereka, mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang secara bermakna sebagai masyarakat kita yang dihargai,” kata Encik Chua yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Dilancarkan pada 2019, GCTEA merupakan inisiatif utama Dana Upaya Goh Chok Tong (GCTEF) – sebuah dana masyarakat yang bertujuan memberi peluang kepada golongan berkeperluan khas agar boleh menyumbang kepada masyarakat secara aktif dan menjalani kehidupan yang bersepadu secara sosial.

Ini dilakukan dengan menghulur bantuan, menyokong aspirasi dan memberi anugerah demi mengiktiraf pencapaian dan potensi golongan itu.

Dana tersebut ditadbir oleh SG Enable dan disokong oleh Mediacorp.

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong pula berperanan selaku penaung GCTEF.

Untuk menyokong golongan kurang upaya melalui GCTEF, sila lungsuri GCTEnableFund.sg.

Source: Berita, Mediacorp